Sorting by

×

MELAKA LAKSANA PEMBANGUNAN HARTANAH BERIMPAK TINGGI DI KLEBANG

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 15 Mei – Sebuah pembangunan hartanah berimpak tinggi akan dibangunkan di tanah berkeluasan 227 hektar di Klebang, sekali gus bakal memacu peranan Melaka sebagai salah sebuah Hab Pembangunan Wilayah Tengah negara.

Ia menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara LBS Bina Group Berhad dan Oriental Holdings Berhad membabitkan perancangan projek pembangunan bercampur dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bernilai melebihi RM7 bilion.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perjanjian tersebut melibatkan pembangunan hartanah di kawasan Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ), merangkumi projek perumahan, ruang komersial serta kawasan perindustrian.

Jelas beliau, antara projek utama yang dirancang adalah pembangunan bersepadu yang bakal menempatkan industri campuran, hab logistik, ruang perniagaan, lot niaga komersial serta kluster kediaman moden.

“Projek ini secara langsung akan memberi impak yang besar, khususnya dalam konteks pembangunan SM-WEZ, kerana ia mampu menyelesaikan isu ‘last mile connectivity’ bagi kemudahan infrastruktur di kawasan Nukleus D Blueprint SM-WEZ.

“Saya percaya, pembangunan di koridor ekonomi pesisir pantai ini bakal menjadi pemangkin kepada peningkatan keyakinan pelabur, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada aliran pelaburan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian antara LBS Bina Group Berhad dan Oriental Holdings Berhad di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Saiful Hazwa Kipli; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Ketua Pegawai Eksekutif SM-WEZ Datuk Shamsul Ambia Abd Aziz serta lain-lain kenamaan.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina Group Berhad Tan Sri Datuk Seri Ir. Lim Hock San dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Oriental Holdings Berhad Datuk Loh Kian Chong.

Menurut Ab Rauf, pembangunan itu merupakan satu langkah tepat memandangkan lokasinya yang strategik di antara tiga pelabuhan utama yang telah dan akan dibangunkan.

Malah, menurut beliau, kewujudan industri limbungan pembinaan dan penyelenggaraan kapal di kawasan berdekatan turut menyokong potensi kawasan itu berkembang sebagai sebuah ‘Central Business and Commercial District’ yang baharu.

“Besar harapan saya, agar inisiatif seumpama ini dapat membawa impak yang lebih besar dalam menyokong hasrat kerajaan negeri untuk merealisasikan perancangan pembangunan Koridor Zon Ekonomi Khas SM-WEZ, yang berkonsepkan ‘Future Maritime City’ sebagai ibu kota Melaka yang baharu.

“Saya yakin, dengan kepakaran dan pengalaman luas yang dimiliki oleh LBS Bina Group dan Oriental Holdings, kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor industri, malah akan menjadi game changer kepada struktur sosioekonomi negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1065
Kongsi :
Previous post TUNGGU KEJUTAN TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0 – AB RAUF
Next post BENIH PADI MELAKA MURAH, HASIL BERKUALITI, TUAIAN MENINGKAT