Sorting by

×

MELAKA LAKSANA SOLAT SUNAT ISTISQA’ MOHON HUJAN

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

DURIAN TUNGGAL 2 April – Kerajaan Negeri melaksanakan Solat Sunat Istisqa’ di Empangan Durian Tunggal, di sini, hari ini sebagai usaha memohon hujan berikutan penyusutan paras air di dua empangan utama negeri ini sejak beberapa minggu lalu.

Program anjuran Badan Kawal Selia Air (BKSA) itu diadakan susulan cuaca panas dan kering berpanjangan selain kekurangan taburan hujan, sekali gus memberi kesan kepada paras air di Empangan Durian Tunggal dan Empangan Jus.

Solat sunat itu berkenaan dipimpin Timbalan Mufti Negeri Melaka, Hazarudin Baharudin, dengan penyertaan hampir 150 peserta terdiri daripada pelbagai wakil agensi Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Mohd Saleh Jusman; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka, Saiful Fazlee Mohamad serta kakitangan Jabatan Ketua Menteri Melaka dan pelajar Madrasah Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Telok Mas.

Penganjuran solat sunat itu bukan sahaja sebagai ikhtiar memohon rahmat hujan, malah mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menangani isu bekalan air serta memastikan kelestarian sumber air terus terpelihara.

Pada masa sama, orang ramai turut diseru agar mengamalkan penggunaan air secara berhemah sepanjang tempoh cuaca panas bagi mengelakkan pembaziran dan memastikan bekalan mencukupi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

380
Kongsi :
Previous post SEL TAMBAHAN PASTIKAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL MELAKA TIDAK TERJEJAS
Next post TEKNOLOGI WTE ATASI CABARAN KAPASITI TAPAK PELUPUSAN