Sorting by

×

MELAKA LANCAR ‘BIJAK SPM’, BERI MANFAAT LEBIH 12,000 CALON

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 5 Jun – Melaka terus komited dalam memperkasakan pendidikan anak-anak di negeri ini dengan melancarkan inisiatif Bijak SPM.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif berupa penganjuran program berbentuk kecemerlangan pelajar itu diumumkan pada Bajet 2025 Negeri Melaka membabitkan peruntukan berjumlah RM700,000.

Beliau memaklumkan, inisiatif itu akan melibatkan 95 buah sekolah menengah dan memberi manfaat kepada seramai 12,757 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini.

“Inisiatif ini merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan pelajar mendapat sokongan yang secukupnya untuk menghadapi peperiksaan SPM.

“Melalui inisiatif ini pelajar akan diberikan pendedahan pelbagai program kecemerlangan seperti bengkel teknik menjawab soalan, bengkel pecutan akhir serta penyediaan bahan pembelajaran berkualiti.

“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelajar, malah membantu mereka lebih bersedia menghadapi peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM & Bijak Sejarah A+ Tahun 2024 serta Pelancaran Program Bijak SPM Tahun 2025 Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abdul Aziz Baba.

Menurut Ab Rauf menerusi inisiatif itu juga, Kerajaan Negeri akan menyediakan bengkel-bengkel yang berteknologi tinggi secara berterusan.

“Ini bagi memastikan anak-anak dapat bersedia untuk menempuh zaman dunia yang penuh dengan teknologi-teknologi terkini dan terbaharu,” katanya.

Terdahulu, pada program itu, Ab Rauf telah meraikan seramai 375 pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan semua A dalam SPM 2024 dan 585 pelajar yang mencapai A+ dalam subjek Sejarah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1098
Kongsi :
Previous post MPJ TUNDA, SITA, LUPUS KENDERAAN TERBIAR
Next post MELAKA BERI TUISYEN PERCUMA SPM, STPM UNTUK PELAJAR B40