
MELAKA LANCAR BUKU GARIS PANDUAN KOPERASI KARIAH MASJID, JADI RUJUKAN NEGERI LAIN – SKM
PENGKALAN BATU 7 Ogos – Melaka terus mengorak langkah ke hadapan dalam memperkasa institusi masjid apabila menjadi negeri pertama melancarkan Buku Garis Panduan: Pendaftaran Koperasi Kariah Masjid dan Surau Negeri Melaka.
Buku tersebut diperkenal secara rasmi pada Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Negeri Melaka (KOKMA’25) yang diadakan di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Azam Sulaiman berkata, pelancaran buku tersebut meletakkan Melaka sebagai negeri perintis dalam usaha memperluas penubuhan koperasi di peringkat kariah masjid.
Katanya, garis panduan yang diperkenalkan itu akan menjadi dokumen rujukan utama untuk negeri-negeri lain dalam usaha menubuhkan koperasi kariah masjid di kawasan masing-masing.
“Buku Garis Panduan ini akan memudahkan masyarakat memahami prosedur serta keperluan mendaftar koperasi secara teratur dan patuh kepada peraturan sedia ada.
“Melaka kini berada di kedudukan teratas dari segi bilangan koperasi kariah masjid yang aktif, diikuti Pahang yang turut menunjukkan perkembangan positif dengan sokongan Kerajaan Negeri.
“Melaka terus menjadi contoh terbaik bagaimana sinergi antara masjid, Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan mampu memperkasakan ekonomi komuniti Islam melalui koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri KOKMA’25 yang dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman; Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat; Pengarah SKM Melaka, Mustafa Kamal Mohd Nor serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Azam berkata, SKM kini menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada lebih 6,000 masjid di seluruh negara menubuhkan koperasi masjid kariah masing-masing.
“SKM sedang bekerjasama dengan pegawai daerah dan majlis agama negeri untuk merealisasikan sasaran ini, walaupun kita sedar bidang kuasa agama berbeza mengikut negeri.
“Kita (SKM) akan menawarkan bantuan prasarana dan modal pusingan kepada koperasi kariah masjid berpotensi bagi merancakkan aktiviti ekonomi mereka.
“Inisiatif ini bertujuan melahirkan rangkaian koperasi masjid yang mampu berperanan sebagai pusat pengedaran, subpengedaran atau outlet peruncitan komuniti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.