Sorting by

×

MELAKA MAHU ANJUR KARNIVAL OKU BESAR-BESARAN – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 4 Disember – Kerajaan Negeri akan menganjurkan Karnival Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Negeri Melaka secara besar-besaran bagi mencungkil bakat serta meraikan golongan istimewa tersebut.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran karnival itu bertujuan membuka ruang lebih luas kepada golongan OKU untuk menyerlahkan kebolehan mereka sehingga mampu ditempatkan di pentas bakat yang bersesuaian.

“Kerajaan Negeri bersetuju untuk membentangkan inisiatif berkaitan penganjuran karnival ini dalam pengumuman Bajet Negeri Melaka 2026 yang dijadualkan pada Jumaat, 5 Disember 2025 (esok).

“Kita mahu mengetengahkan bakat-bakat OKU ini agar mereka mampu melonjak ke tahap lebih tinggi dan berada di persada bakat masing-masing.

“Selain itu, kita turut meraikan warga emas kerana mereka adalah penyuluh masa depan yang telah mendahului kehidupan kita dan mereka insan istimewa yang mewariskan negeri ini kepada generasi hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kebajikan: Melaka Prihatin, Rakyat Disantuni sempena Sambutan Hari Warga Emas, Hari OKU & Hari Kanak-Kanak serta Perasmian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan kanak-kanak kerana mereka merupakan generasi masa hadapan yang bakal mewarisi negeri ini.

“Kita amat prihatin dengan memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk berkarya dalam bidang masing-masing.

“Sudah tentu karnival ini diadakan bagi memberikan penghargaan kepada golongan OKU di negeri ini agar mereka tidak dipinggirkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

198
Kongsi :
Previous post KEBAJIKAN RAKYAT MELAKA TERUS DIPERKASA – AB RAUF