Sorting by

×

MELAKA MAHU MAHASISWA JADI ‘MATA DAN TELINGA’ AADK

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDA HILIR 25 Januari – Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini diharap dapat berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha membasmi ancaman najis dadah.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, golongan mahasiswa juga boleh menjadi ‘pempengaruh’ kepada rakan sebaya dalam menyebarkan gaya hidup sihat tanpa penggunaan bahan terlarang.

“Saya ingin menegaskan bahawa ancaman dadah bukan sahaja isu jenayah, tetapi ia adalah isu kesihatan awam yang kritikal. Dadah merosakkan saraf, mengganggu mental, dan memusnahkan produktiviti modal insan.

“Justeru, saya berharap golongan mahasiswa agar sebarkanlah gaya hidup sihat. Jadikanlah kejayaan akademik dan kepimpinan sebagai kepuasan yang hakiki, bukannya bahan terlarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Program Siswa Aktif, Gagasan Aspirasi (SAGA) AADK Negeri Melaka bagi tahun 2026 di Muzium Penjara Melaka, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah AADK Negeri Melaka A. Syawal Nurhaizad Mohd Parman serta lain-lain kenamaan.

Menurut Hee Sem, program itu membabitkan mahasiswa daripada Universiti Multimedia (MMU) Kampus Melaka; Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Kolej Komuniti dengan bertemakan ‘Satu Kesilapan, Seumur Hidup Terkesan’.

Jelas beliau, pemilihan Muzium Penjara juga sangat bertepatan memandangkan lokasi itu menyimpan seribu satu kisah duka mereka yang tersilap langkah.

“Saya berharap agar apa yang dilihat di sini menjadi tamparan realiti yang mampu mencelikkan mata hati anda tentang harga sebuah kesilapan.

“Gunakanlah peluang ini untuk memahami bahawa setiap keputusan yang anda buat hari ini sama ada mahu mencuba atau menolak dadah akan menentukan di mana anda berada 10 tahun akan datang.

“Kepada para peserta, teruskan melangkah dengan yakin. Masa depan anda bermula dengan keputusan yang anda buat hari ini. Jadilah pemimpin yang membanggakan keluarga, bangsa dan Negeri Melaka yang kita cintai,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

466
Kongsi :
Previous post PROGRAM KOMUNITI MADANI PLATFORM MPJ DEKATI WARGA JASIN
Next post MPAG JIMAT KOS ELEKTRIK 51 PERATUS SEBULAN MELALUI TENAGA SOLAR