Sorting by

×

MELAKA MASIH UNGGUL DI GELANGGANG KARATE

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 5 Ogos – Melaka masih membuktikan keunggulan di gelanggang karate apabila membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan dua gangsa pada Kejohanan Sukan Tempur Karate Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil baru-baru ini.

Kilauan emas yang dibawa pulang ke bumi Melaka diraih menerusi Tan Gee Ee, 16 dalam kategori Individu Lelaki Junior 76 kilogram (kg) dan R. Indraaj dalam kategori Individu Lelaki Junior 55kg.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, pencapaian atlet muda Melaka itu membuktikan negeri ini masih belum ketandusan bakat dalam arena sukan tempur.

Malah, beliau menyifatkan ia sebagai satu pencapaian yang amat baik dalam membakar semangat dan melahirkan lebih ramai atlet bertaraf bintang pada masa akan datang.

“Terima kasih diucapkan kepada Pengerusi Persatuan Karate Negeri Melaka Datuk Lau Puan Long, Pengurus Pasukan Mervyn Lim dan barisan kejurulatihan Eric Lok, Palmani, dan Sashen serta Pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Azmee yang banyak membantu dalam merealisasikan kejayaan ini.

“Walaupun tidak menduduki tangga pertama, namun bagi MAKAF, kejayaan atlet Melaka ini amat baik dan membuktikan bahawa pembangunan atlet pelapis karate di negeri ini terus berkembang,” katanya.

Whatsapp image 2025 08 05 at 12.05.50
NUR Azmi (dua dari kiri) ketika hadir ke Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Tempur Peringkat Kebangsaan 2025 yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Terdahulu, pada Kejohanan Sukan Tempur Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung pada 24 hingga 28 Julai lalu, kontinjen Sabah dinobat juara keseluruhan dengan meraih 11 emas, tiga perak dan tiga gangsa, manakala Selangor di tempat kedua dengan empat emas, dua perak dan enam gangsa.

Dalam pada itu, Nur Azmi berharap atlet muda karate Negeri Melaka dapat meneruskan rentak kecemerlangan negeri bersejarah dalam arena sukan tempur menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 nanti.

“Dimaklumkan Persatuan Karate Negeri Melaka menyasarkan tiga pingat emas pada SUKMA 2026 dan saya amat berharap, pencapaian terbaik dapat dijelmakan oleh atlet Melaka pada temasya kali ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

526
Kongsi :
Previous post WRUR REMBIA: 2,568 RUMAH, PREMIS TERIMA ALAMAT BAHARU KAMPUNG DIGITAL
Next post WRUR REMBIA: ‘MPAG DI HATI’ SANTUNI MASYARAKAT MEMERLUKAN