
MELAKA MELANGKAH GAGAH, LEBIH 200 PENCAPAIAN DILAKAR
AYER KEROH 19 Januari – Melaka berjaya melakar lebih 200 inisiatif dan pencapaian penting dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Menurut beliau, sepanjang tempoh itu, landskap pembangunan dan kemajuan negeri telah dicorakkan dengan jayanya merangkumi pelbagai sektor strategik.
Walaupun berdepan liku dan cabaran, Ketua Menteri memanjatkan kesyukuran kerana dengan tekad yang jitu dan kesatuan yang utuh, Melaka terus melangkah gagah.
“Maka, pada kesempatan yang penuh bermakna ini, saya merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad, atas kerjasama yang diberikan kepada pentadbiran negeri Melaka di bawah pimpinan saya.
“Penghargaan yang sama turut saya tujukan kepada kesemua barisan Exco, Timbalan Exco serta kepimpinan jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat-syarikat GLC yang sentiasa berdiri teguh membantu menjayakan dasar-dasar Kerajaan Negeri.
“Paling utama, saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada lebih 38,500 orang penjawat awam negeri Melaka yang menjadi nadi penggerak utama kepada segala kejayaan dan pencapaian yang kita kecapi hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 YAB Ketua Menteri bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut merakamkan penghargaan kepada wira barisan hadapan yang setia berkhidmat demi menjaga keselamatan, kesejahteraan serta ketenteraman rakyat dan negeri Melaka.
Tidak dilupa, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak swasta serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang sentiasa menyokong aspirasi dan agenda pembangunan negeri.
“Di mana ada kesungguhan, di situ ada kejayaan dan kejayaan Melaka pada hari ini adalah hasil keringat, usaha dan semangat yang telah anda semua curahkan demi negeri tercinta ini,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


