Sorting by

×

MELAKA MENUJU KE ARAH PENGIKTIRAFAN GEOPARK KEBANGSAAN 2026

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

DUYONG 14 Julai – Melaka menetapkan sasaran untuk diiktiraf sebagai sebuah Geopark Kebangsaan menjelang penghujung tahun depan.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Negeri Sembilan/Melaka sedang berusaha menjalankan kajian dan pencirian saintifik geotapak di beberapa lokasi yang dikenalpasti di seluruh negeri ini sebelum ia dinilai dan diangkat untuk menerima pengiktirafan.

Pengarah JMG Negeri Sembilan/Melaka Haniza Zakri berkata, setakat ini sebanyak lima lokasi telah dijalankan pencirian geotapak iaitu Pulau Upeh, Pulau Besar, Pulau Undan, Tanjung Tuan dan Sungai Rambai.

Katanya, pada tahun ini, tiga lagi lokasi baharu iaitu Bukit Beruang, Bukit Larang Telok Mas dan Air Panas Gadek akan dijalankan kajian untuk menilai ciri-ciri berasaskan geologi dan nilai-nilai warisan lain yang ada di kawasan tersebut.

Menurut beliau, sebagai sebuah negeri pelancongan, status Geopark Kebangsaan amat penting untuk Melaka dalam memberi nilai tambah dan pengalaman lebih menarik kepada pengunjung dan pelancong terutama dalam produk baharu geopelancongan.

“Pada masa sama, status Geopark ini turut berperanan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat, seperti contoh ia dapat membuka peluang pekerjaan dan mempromosikan nilai sejarah, warisan, budaya dan juga produk-produk tempatan seperti makanan, hasil kraf dan lain-lain lagi.

“Setakat ini, Melaka masih berada di dalam status ‘Aspiring Geopark’, jadi kita berharap menjelang hujung tahun 2026, dengan kerjasama erat dari Kerajaan Negeri Melaka terutamanya Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan jabatan serta agensi lain yang berkaitan, Melaka dapat mencapai pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan.

“Untuk ke arah itu, kita perlu membuat pencirian di banyak tempat, dianggarkan sekurang-kurangnya 15 lokasi di seluruh Negeri Melaka dan diharapkan ia dapat direalisasikan mengikut tempoh sasaran ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di reruai Program Kesedaran Komuniti Aspiring Melaka Geopark bersempena Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di Dewan Terbuka, Taman Seri Duyong 2, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya juga berhasrat menjadikan Duyong sebagai kampung angkat pertama geopark di Negeri Melaka memandangkan Duyong mempunyai pelbagai khazanah warisan geologi yang terdiri daripada sumber batuan merah laterit berusia jutaan tahun dan nilai budaya yang tinggi yang boleh diketengahkan.

Jelas beliau, antaranya Sumber Air Bawah Tanah Perigi Hang Tuah, Perkampungan Budaya Hang Tuah, Masjid Warisan dan pelbagai lagi tarikan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

529
Kongsi :
Previous post BANGKAI HELIKOPTER KEMALANGAN DINAIKKAN ESOK ATAU LUSA — KOMANDER PGU
Next post SEDEKAD OMSMC: JALIN MoU BERSAMA JCI MCE DEMI PERKASA KESEDARAN KESIHATAN