Sorting by

×

MELAKA MILIKI LOJI PELUPUSAN SISA KLINIKAL BERTEKNOLOGI CANGGIH

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

KLEBANG 8 Ogos – Melaka menjadi antara negeri terkehadapan dalam sistem pengurusan pelupusan sisa klinikal dengan adanya sebuah loji pelupusan sisa klinikal berteknologi canggih di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, loji pelupusan sisa klinikal itu sudah beroperasi sejak 2022 dan merupakan satu-satunya sistem pelupusan yang berteknologi canggih dari Belgium yang terbukti memberi impak cukup baik.

Beliau berkata, kewujudan loji pelupusan itu juga berperanan sebagai pemacu utama pengurusan sisa kesihatan daripada fasiliti awam dan swasta bagi tiga negeri di selatan tanah air iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

“Saya melihat bahawa perkembangan baharu ini akan membantu Kerajaan Negeri bagi memperkukuhkan satu sistem pelupusan sisa bagi kesejahteraan rakyat dan juga orang awam.

“Malah dengan adanya kemudahan ini juga ia akan memberi nilai tambah kepada Kerajaan Negeri bagi meyakinkan pelabur-pelabur bahawa kita dapat mengawal selia sisa-sisa klinikal ini dalam keadaan yang baik.

“Selain itu, dengan kedudukan strategik Melaka, saya yakin loji ini akan memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai Hab Pengurusan Sisa Klinikal Wilayah Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Loji Pelupusan Sisa Klinikal Medivest Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kerk Chee Yee; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @Mohd Hashim; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China Kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong dan Ketua Pegawai Eksekutif Medivest Sdn Bhd Ts. Abdullah Hashim.

Menurut Ab Rauf, pembinaan loji baharu yang bernilai RM30 juta itu turut menjadi wahana pemindahan teknologi melalui latihan dan pendedahan kepakaran kepada tenaga kerja tempatan selain berkeupayaan melupuskan sehingga 20 tan metrik sisa klinikal sehari.

“Pembinaan loji baharu ini memberikan lebih 100 peluang pekerjaan sekali gus membantu merangsang ekonomi setempat khususnya komuniti Bukit Rambai.

“Pembinaan loji ini juga akan menjadi tonggak utama dalam memenuhi permintaan jangka panjang susulan jangkaan peningkatan sebanyak 40 peratus jumlah sisa klinikal di Melaka.

“Selain itu, saya berharap (pihak lain) boleh menjadikan Melaka sebagai rujukan bagi kaedah pelupusan sisa klinikal,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut menyeru agar lebih banyak syarikat penyedia perkhidmatan kesihatan swasta tampil mencontohi Medivest Sdn Bhd dalam memperkukuhkan komitmen ESG (Environmental, Sosial, Governance) bukan hanya mematuhi, tetapi juga mempelopori piawaian kelestarian di Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

643
Kongsi :
Previous post HEBAT: ADUAN LIPUTAN TELEKOMUNIKASI DAPAT PERHATIAN
Next post APA ITU PENANDA KANSER (TUMOUR MARKER)?