
MELAKA MINTA PENGENDALI ‘BAS PINK’ TINGKAT KUALITI LATIHAN PEMANDU
SUNGAI UDANG 28 Mei – Syarikat konsesi yang mengendalikan perkhidmatan bas henti-henti, Bas.my atau ‘Bas Pink’ diminta lebih bertanggungjawab dengan meningkatkan kualiti latihan kepada pemandunya susulan beberapa kemalangan maut yang membabitkan pengangkutan awam itu di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, rata-rata insiden yang berlaku adalah disebabkan sikap pemanduan segelintir pemandu sehingga ada yang lalai dan menyebabkan nyawa terkorban.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, Kerajaan Negeri tidak terlibat dalam aspek pemilihan pemandu dan lain-lain berkaitan perkhidmatan bas berkenaan memandangkan kontrak tersebut telah diberikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kepada syarikat konsesi terpilih.
“Oleh sebab banyak perkara berlaku disebabkan sikap pemanduan, saya juga meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis trafik untuk memberikan pendidikan yang lebih ketat supaya mereka (pemandu bas) ini lebih berdisiplin.
“Saya amat memandang serius kemalangan yang berlaku apabila menampakkan berlaku kelalaian dan ketidakcekapan pemandu. Walaupun difahamkan pemandu itu tidak mempunyai rekod buruk sebelum ini, namun disebabkan sedikit kealpaan, ia membawa maut.
“Jadi, saya mohon kepada pihak pemegang konsesi bas ini di Melaka agar dapat mempertingkatkan lagi kualiti latihan kepada pemandu-pemandunya supaya dapat mengelakkan perkara tidak diingini berlaku lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Perjumpaan Bersama Pemimpin Tempatan Masyarakat Cina bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Ulu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta pemimpin-pemimpin setempat.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pekerja subkontraktor maut selepas kereta dinaikinya yang berhenti di bahu jalan dirempuh sebuah bas henti-henti di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Sungai Petai, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang, Muhammad Aiman Mohd Farid, 23, maut di tempat kejadian selepas dipercayai tercampak keluar dari kereta ke dalam longkang dan parah di kepala.
Manakala rakannya Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, pula mengalami kecederaan di badan.
Bas berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Terminal Bas Melaka Sentral menuju ke Lebuh AMJ, manakala kereta berkenaan pula dari arah Rembia.
Susulan insiden itu, pemandu bas berusia 37 tahun itu direman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.