
MELAKA MOHON JAJARAN BAHARU WCE DIPERTIMBANG PADA BAJET 2026
BANDARAYA MELAKA 27 September – Kerajaan Negeri memohon agar pembinaan jajaran baharu Lebuh Raya Pesisiran Pantai (WCE) menghubungkan Melaka dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diberi pertimbangan sewajarnya dalam pembentangan Bajet 2026, Oktober depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembinaan projek itu amat penting dalam menangani kesesakan dan pada masa yang sama merancakkan ekonomi Melaka.
Ab Rauf berkata, cadangan itu antara yang disuarakan ketika sesi libat urus bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemain industri.
“Kerajaan Negeri Melaka memohon diberikan pertimbangan sewajarnya agar satu jajaran baharu, iaitu lebuh raya baharu menghubungkan Melaka dengan KLIA dapat disegerakan. Sekiranya ada ‘connectivity’ ini perkembangan ekonomi Melaka akan lebih rancak.
“Insya-Allah pertimbangan telah diberikan dan kita tunggu sama ada kelulusan WEC dari Banting, Port Dickson, Negeri Sembilan, Melaka sehingga ke Johor dapat diberikan sebelum Bajet 2026 pada 10 Oktober,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Belanjawan 2026 Pemain Industri Pelancongan dan Pembuatan Bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Zamzuri Abdul Aziz.
Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Menurut Ab Rauf, Melaka turut memberi penekanan untuk menjadi hab halal terbesar, sekali gus sebagai pusat rujukan.
“Antara lain kita turut melihat bahawa Melaka mesti menjadi satu pusat halal hab terbesar untuk dijadikan sebagai rujukan kepada pembekal selain lokasi keterjaminan makanan.
“Bagaimanapun ini semua kita akan perhalusi dan Perdana Menteri menerima baik cadangan yang disuarakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.