
MELAKA MOHON RM1 JUTA BAIK PULIH TREK BALAPAN STADIUM HANG JEBAT
ALOR GAJAH, 1 Nov – Kerajaan negeri Melaka memohon peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi melaksanakan kerja baik pulih trek balapan di Stadium Hang Jebat yang memerlukan penyelenggaraan semula.
Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk V P Shanmugam berkata kerja baik pulih itu penting bagi membolehkan trek digunakan atlet olahraga Melaka sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan.
“Kita berharap kerja baik pulih bagi penukaran trek balapan itu dapat dimasukkan dalam senarai perancangan atau wishlist KBS untuk diluluskan segera supaya projek berkenaan dapat dilaksanakan.
“Ini penting kerana Stadium Hang Jebat yang siap dibina pada 2009 merupakan antara venue utama bagi acara sukan di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Sukan Komuniti Luar Bandar peringkat negeri 2025, di Sawah Kampung Gadek di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka Zailani Siran.
Shanmugam berkata sebelum ini, KBS telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi projek naik taraf sistem saliran padang dan rumput di stadium berkenaan.
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri akan membawa cadangan program sukan luar bandar turut dianjurkan di peringkat daerah atau Parlimen bagi memperluas penglibatan masyarakat di seluruh negeri.
“Ia bagi memberi lebih banyak peluang kepada penduduk luar bandar menyertai aktiviti berunsur riadah dan kekeluargaan yang dapat memupuk semangat perpaduan,” katanya.
Beliau berkata penganjuran Program Sukan Komuniti Luar Bandar Peringkat Negeri Melaka 2025 menjadi bukti bahawa kerajaan negeri sentiasa serius dalam usaha memperkukuh perpaduan masyarakat di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Antara acara yang diadakan sempena program berkenaan ialah mengocak ikan, menangkap itik, memancing, pukul bantal, panjat tiang licin, memanah dan senamrobik yang disertai kira-kira 600 peserta. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

