Sorting by

×

MELAKA MOHON RTB SUNGAI RAMBAI, SOLUSI JANGKA PANJANG ATASI BANJIR

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

SUNGAI RAMBAI 31 Disember – Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai di peringkat Persekutuan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, RTB Sungai Rambai melibatkan peruntukan hampir RM300 juta dan diharap dapat direalisasikan bagi menangani isu banjir secara menyeluruh.

“Untuk jangka masa panjang, kita telah memohon RTB Sungai Rambai di peringkat Persekutuan supaya ia dapat direalisasikan dan masalah banjir di kawasan ini dapat diselesaikan.

“Di Melaka kita telah melaksanakan beberapa projek RTB termasuk RTB Jasin, RTB Merlimau dan RTB Sungai Duyong yang melibatkan kawasan sehingga ke Bemban.

“Ketika ini, kawasan Sungai Rambai pula memerlukan RTB dan saya yakin perkara ini dapat diatasi dengan perancangan rapi dan sokongan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abdul Azis; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Rais berkata kejadian banjir yang berlaku di Kampung Parit Perawas berpunca daripada limpahan lembangan sungai di kawasan Segamat selain faktor cuaca yang sukar dijangka.

“Apabila berlaku limpahan di kawasan hulu, kawasan bawah turut terkesan. Tambahan pula paras air sungai mengambil masa untuk surut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Rais memaklumkan hanya satu PPS aktif di Melaka setakat ini, iaitu di SK Parit Penghulu dan orang ramai dinasihatkan untuk terus berwaspada berikutan Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga awal tahun hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

445
Kongsi :
Previous post USAHA TANGANI BANJIR DI BEMBAN TUNJUK HASIL POSITIF
Next post UPTOWN PAHLAWAN WALK BEROPERASI 5 HARI SEMPENA TAHUN BAHARU 2026