Sorting by

×

MELAKA-MUEHLBAUER JALIN KERJASAMA TEROKA TEKNOLOGI ID, BIOMETRIK

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 18 Jun – Perbadanan Melaka (MCORP) menjalin kerjasama strategik bersama syarikat Jerman, Muehlbauer bagi meneroka teknologi sistem identiti selamat (ID) dan biometrik.

Kerjasama itu dicapai dalam satu mesyuarat di Munich, Jerman yang melibatkan delegasi Kerajaan Negeri Melaka yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan wakil daripada Muehlbauer.

Ketua Menteri berkata, kerjasama itu bertujuan melayakkan kedua-dua entiti berkenaan menyertai peluang perolehan dibuka Kerajaan Malaysia pada masa hadapan, termasuk urusan pembekalan pasport dan kad pengenalan.

“Antara keutamaan dalam kerjasama pelaksanaan pemindahan teknologi oleh Muehlbauer kepada anak syarikat MCORP termasuklah menyediakan latihan pasukan teknikal tempatan dan penubuhan kemudahan tempatan bagi pemasangan.

“Selain integrasi dan sokongan sistem, perkongsian Harta Intelek (IP) atau pelesenan mengikut kesesuaian serta matlamat jangka panjang untuk membangunkan keupayaan teknologi di dalam negara,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Naib Presiden Muehlbauer, Ludwig Huber serta Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Munich, Wan Farulnizam Wan Mohd Faizul.

Beliau berkata, langkah ini merupakan satu anjakan penting dalam membina keupayaan teknologi tempatan serta membuka laluan kepada pembangunan pelbagai inisiatif digital berimpak tinggi.

“Antara manfaat jangka panjang yang diperolehi termasuklah pembangunan platform identiti digital kebangsaan, infrastruktur bandar pintar dan sistem pengesahan identiti rakyat yang selamat serta integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), ‘blockchain’ selain pengesahan biometrik dalam penyampaian perkhidmatan awam.

“Saya percaya penyertaan MCORP ini bukan sahaja membina masa depan digital yang lebih cerah untuk Melaka dan Malaysia, malah membuka pintu kepada pelbagai peluang inovasi dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Ab Rauf, turut berharap Melaka dijadikan contoh kecemerlangan dalam bidang digital bagi seluruh negara, sejajar aspirasi menjadi peneraju digital serantau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

354
Kongsi :
Previous post PSV TAMAT TEMPOH, GUNA TELEFON BIMBIT KETIKA MEMANDU ANTARA KESALAHAN DIKESAN DALAM OP PINKY
Next post HARGA RUNCIT RON95 KEKAL, RON97 NAIK TUJUH SEN