
MELAKA NAIKKAN KADAR BANTUAN MAKANAN BULANAN ASNAF
AYER KEROH 30 Jun – Bantuan Makanan Bulanan bagi asnaf miskin dan mualaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan dinaikkan kepada RM300 sebulan berbanding RM250 sebelum ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kenaikan itu bermula pada 1 Julai 2025, selepas mengambil kira faktor kenaikan harga barang mentah menyebabkan barangan yang diberi kepada asnaf juga mengalami kenaikan.
Katanya, ia juga merupakan satu manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan asnaf memandangkan skim bantuan ini tidak dinaikkan sejak beberapa tahun lepas.
“Kenaikan kadar bantuan ini bagaimanapun hanya melibatkan Bantuan Makanan Bulanan asnaf miskin dan mualaf, manakala bagi asnaf fakir, kadar bantuan adalah sama dan kekal iaitu RM400 sebulan.
“Berdasarkan data pada 24 Jun 2025, penerima Bantuan Makanan Bulanan MAIM (bantuan daruriyah) adalah seramai 7,810 orang iaitu asnaf fakir seramai 112 orang dan asnaf miskin seramai 7,698 orang,” katanya.
Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, selain Bantuan Makanan Bulanan, MAIM turut menaikkan kadar beberapa skim bantuan lain, antaranya Bantuan Yuran Persekolahan Sekolah Rendah (one-off) bagi anak-anak miskin iaitu kini berjumlah RM100 berbanding RM70 tahun lalu.
“Selain itu, bantuan tunai mualaf turut dinaikkan dari RM200 kepada RM300 dan bantuan tunai mualaf baharu juga pada jumlah yang sama,” katanya.
Menurut beliau, pada tahun lalu, prestasi kutipan zakat di Melaka adalah berjumlah RM141.37 juta dan perbelanjaan zakat yang diagihkan kepada asnaf yang berdaftar di MAIM adalah sebanyak RM151.22 juta.
Jelas beliau, tahun ini pula, peruntukan zakat dianggarkan berjumlah RM33.682 juta iaitu kenaikan sebanyak 15 peratus atau lebih RM4.3 juta berbanding peruntukan berjumlah RM29.298 juta tahun lalu.
“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada semua pembayar zakat yang memberi kepercayaan kepada MAIM dalam menguruskan pengagihan zakat ini.
“Semoga dengan sokongan, doa dan kepercayaan pembayar zakat, MAIM dapat meningkatkan hasil kutipan zakat dan sekali gus terus membela golongan asnaf di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.