
MELAKA NEGERI CONTOH, REFORMASI BIROKRASI HASILKAN PENJIMATAN RM13.5 JUTA
MERLIMAU 19 Oktober – Melaka menjadi negeri contoh yang berjaya mengubah cara kerja kerajaan menjadi lebih cepat, mudah dan berkesan menerusi pelaksanaan Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).
Melalui RKB, Kerajaan Negeri Melaka berjaya meningkatkan kecekapan dan produktiviti, sekali gus memberi manfaat terus kepada rakyat dan peniaga.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, inisiatif tersebut telah menghasilkan penjimatan RM13.5 juta setahun serta mempercepatkan proses kelulusan kerajaan sehingga 75 peratus lebih pantas.
Menurut beliau, sebanyak empat projek RKB telah dilaksanakan melibatkan pelbagai agensi negeri, Pejabat Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menambah baik operasi pentadbiran serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
“Ini sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Melaka dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, telus dan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Projek RKB bersempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.
Menurut beliau, RKB merupakan satu budaya kerja baharu dalam perkhidmatan awam yang menekankan kecekapan dan inovasi.
Beliau menegaskan bahawa pengurangan kerenah birokrasi dan pemerkasaan kecerdasan buatan (AI) akan terus menjadi tunjang kepada matlamat Malaysia MADANI, ke arah sektor awam yang tangkas, inklusif dan berpaksikan rakyat.
“Apabila kita mengutamakan rakyat dan mempermudah urusan perniagaan, kita meningkatkan kecekapan operasi, menjimatkan kos dan meningkatkan produktiviti.
“RKB membuktikan bahawa perkhidmatan awam sentiasa boleh ditambah baik demi kepentingan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad berkata, Melaka sentiasa komited dalam meneruskan agenda transformasi pentadbiran, khususnya berteraskan digitalisasi dan AI.
“Kerajaan Negeri komited menjadi contoh pentadbiran yang responsif dan inovatif, menjadikan digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemangkin utama peningkatan
produktiviti dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Terdahulu, pada majlis itu, antara agensi yang menerima Sijil Penghargaan Projek RKB adalah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Melaka yang berjaya mengurangkan tempoh urusan pengambilan tanah daripada 36 bulan kepada hanya enam bulan melalui semakan teknikal bersepadu dan serentak.
Selain itu, tiga PBT Melaka turut menerima anugerah sama iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
MBMB berjaya meningkatkan kecekapan pengurusan caj pembersihan bagi penganjuran acara dari 30 hari kepada tiga hari sahaja.
MPHTJ pula telah meningkatkan kecekapan pemprosesan pelan dari 10 hari kepada empat jam, manakala MPAG telah mempercepat proses pembaharuan lesen perniagaan daripada satu hari kepada serta-merta.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.