Sorting by

×

MELAKA NEGERI CONTOH TUAN RUMAH ACARA BERPRESTIJ

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 10 November – Keupayaan Melaka menjadi tuan rumah Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Akhir Kebangsaan dengan cemerlang menjadikan negeri itu sebagai contoh terbaik penganjuran acara berprestij peringkat nasional.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata, penganjuran kali ini bukan sahaja mencatat penyertaan dan kehadiran pengunjung luar biasa, malah menjadi satu penanda aras baharu yang perlu dicontohi negeri penganjur pada masa akan datang.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana menjadi tuan rumah dengan amat baik.

“Kita dapat lihat jumlah peserta dan pengunjung yang ramai serta dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

“Ini menunjukkan Melaka telah menetapkan standard yang sangat tinggi untuk penganjuran program bertaraf antarabangsa selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympics 2025 yang dirasmikan oleh Ab Rauf di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Menurut Lih Kang, kejayaan penganjuran itu membuktikan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mampu memacu agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam masyarakat, terutamanya di peringkat akar umbi.

“Ini adalah agenda pembudayaan STI di luar bilik darjah secara praktikal dan ‘hands-on’, seperti yang dizahirkan melalui Malaysia Techlympics,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata Malaysia Techlympics yang memasuki tahun keempat sejak diperkenalkan pada 2022 ialah inisiatif utama MOSTI dalam melahirkan generasi muda yang bersedia mendepani masa depan yang dipacu teknologi baharu, termasuk robotik autonomi dan kecerdasan buatan (AI).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

615
Kongsi :
Previous post AARON OPTIMIS SUMBANG PINGAT DI SUKAN SEA THAILAND