Sorting by

×

MELAKA NEGERI PERTAMA MILIKI SISTEM ‘PANIC BUTTON’

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BANDA HILIR 8 Februari – Melaka menjadi negeri pertama di negara ini memiliki sistem ‘Panic Button’, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut beliau, sistem di bawah seliaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu direka bagi membolehkan bantuan kecemasan sama ada perubatan atau keselamatan disalurkan dengan lebih pantas, tepat dan berkesan.

Jelas beliau, setakat ini, sebanyak empat lokasi strategik telah dilengkapi kemudahan ‘Panic Button’, iaitu di Perkarangan Menara Taming Sari, Taman Warisan Jonker Walk, Hadapan Bastion House, Banda Hilir dan di Stadthuys, Melaka.

“Melalui integrasi bersama PDRM, Jabatan Kesihatan, Bomba, APM dan Paramedik Komuniti, kita mahu memastikan setiap saat adalah nyawa, terutamanya ketika waktu kemuncak dan sepanjang pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.

“Kerajaan Negeri sentiasa berfikir ke hadapan menganjurkan pelbagai acara dan program untuk rakyat. Namun, keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta pengunjung sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2026 dan Majlis Penyampaian Hadiah Utama Cabutan Bertuah Cruise Madani Melaka River Cruise 2025 di Perkarangan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong serta Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen.

Turut bersama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2026 tampil dengan konsep Sambutan Tahun Baharu Cina, sebagai tanda hormat, ingatan dan simbol perpaduan menjelang perayaan besar yang akan diraikan pada 17 Februari ini.

Ujar beliau, ia sekali gus jelas menunjukkan bahawa di Melaka, perpaduan bukan sekadar slogan, sebaliknya sebuah realiti yang dihidupkan setiap hari.

“Daripada Jonker Walk yang ikonik, hingga ke Machap, Selandar dan seluruh pelosok negeri, kita raikan kepelbagaian dalam satu keluarga besar; keluarga rakyat Melaka.

“Seiring dengan Tahun Kuda, saya berharap semangat kuda yang melambangkan kekuatan, kepantasan dan ketekunan akan terus memacu pembangunan Melaka yang lebih dinamik, ekonomi yang mampan dan rakyat yang sejahtera,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

443
Kongsi :
Previous post MELAKA PERKENAL CERDAS, PUSAT SEHENTI SARINGAN MASALAH PERKEMBANGAN KANAK-KANAK