Sorting by

×

MELAKA NYAHWARTA PULAU BESAR SEBAGAI KAWASAN LARANGAN PERIKANAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 10 Disember – Kerajaan Melaka telah memohon kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menyahwarta perairan Pulau Besar sebagai kawasan larangan perikanan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Pulau Besar dan satu nautika daripada pulau itu telah diwarta dan sebagai kawasan larangan perikanan sejak tahun 1994.

Menurut beliau, langkah itu diambil selepas mengambil kira kawasan untuk nelayan menangkap ikan semakin berkurangan apabila tiga lagi pulau iaitu Pulau Undan, Pulau Dodol dan Pulau Nangka diwarta sebagai Taman Laut Melaka pada 2023.

Img 20251209 wa0005
EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menjawab soalan lisan pada hari ketiga Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

“Keputusan ini diambil selepas kita turun ke bawah dan mendengar sendiri rintihan nelayan-nelayan. Jadi, menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN), kita memutuskan untuk menyahwarta Pulau Besar sebagai kawasan larangan perikanan.

“Kita telah mengutus surat kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan menunggu persetujuan. Insya-Allah tidak lama lagi, nelayan boleh menangkap ikan di kawasan Pulau Besar apabila ia dikeluarkan daripada senarai kawasan larangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr. Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Dr. Muhamad Akmal berkata, status Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol sebagai Taman Laut Melaka dan kawasan larangan perikanan dikekalkan memandangkan kepulauan itu memiliki antara terumbu karang tercantik dan bernilai tinggi di dunia.

Pada masa sama, beliau berkata, pewartaan Taman Laut Melaka masih penting dalam memelihara dan memulihara ekosistem laut, selain menjamin sumber perikanan negeri pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

263
Kongsi :
Previous post MELAKA PASTIKAN PEMBANGUNAN TIDAK JEJASKAN WARISAN BERSEJARAH
Next post WRUR DUN BUKIT KATIL: BERI TUMPUAN KEPADA USAHA SELESAIKAN ISU RAKYAT