Sorting by

×

MELAKA PACU PERKHIDMATAN DIGITAL LEBIH CEKAP

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Pendekatan digital semakin diberi keutamaan dalam penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri apabila saluran rasmi Telegram dan inisiatif Kampung Digital diperkenalkan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu selari dengan Gagasan Malaysia MADANI dan menjadi sebahagian usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sistem penyampaian berasaskan teknologi.

“Kita telah mewujudkan ‘Telegram MyMelaka News’ sebagai medium rasmi Kerajaan Negeri untuk menyampaikan maklumat dan dasar secara pantas, tepat dan terus kepada rakyat.

“Alhamdulillah, inisiatif Kampung Digital yang diperkenalkan buat julung kalinya ini turut diangkat ke peringkat nasional sebagai model transformasi digital di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Jelajah Taat Setia MADANI Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Datuk Dr. Roslan Hussin; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Ab Rauf berkata, usaha digitalisasi itu merupakan sebahagian daripada sistem pentadbiran yang diilhamkan untuk mewujudkan jaringan penyampaian yang lebih telus dan inklusif.

“Kita mahu setiap perkhidmatan Kerajaan Negeri mampu menjangkau semua lapisan rakyat, termasuk di ceruk kampung, tanpa ada yang tercicir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

252
Kongsi :
Previous post PENJAWAT AWAM WAJIB JADI EJEN PEMBAHARUAN
Next post 30,000 BANJIRI STADTHUYS SEMPENA PRA-PELUNCURAN WTD 2025