
MELAKA PASTIKAN BAJET 2026 BERI IMPAK KEPADA RAKYAT
MERLIMAU 19 Oktober – Melaka komited merangka pelbagai inisiatif yang memberi impak dan manfaat kepada rakyat pada pembentangan Bajet 2026 akan datang.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri kini berada di fasa akhir penyediaan Bajet 2026 dan dijadual akan dibentangkan pada November depan.
“Tentunya, bajet ini akan diteliti dan diperhalusi sebaik mungkin agar setiap inisiatif yang diputuskan benar-benar memberi impak dan manfaat kepada semua lapisan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta barisan kepimpinan persekutuan dan negeri.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut menzahirkan setulus penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri di atas peruntukan dana bagi pelaksanaan projek-projek yang menjadi keutamaan dalam ‘wishlist’ pembangunan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Menurut beliau, ia termasuklah pembinaan beberapa sekolah baharu di Melaka seperti Kompleks Sekolah Batu Berendam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rumbia, Kompleks Sekolah Anjung Gapam serta tabika KEMAS baharu di Kampung Lendu.
“Saya berharap tumpuan terhadap agenda pendidikan di negeri ini akan terus diperkasa, agar setiap anak Melaka dapat menikmati akses pendidikan yang berkualiti dan persekitaran pembelajaran yang kondusif,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.