Sorting by

×

MELAKA PENERAJU PELANCONGAN PINTAR

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

TELOK MAS 15 Disember – Melaka bakal menjadi peneraju pelancongan pintar menerusi pengenalan Smart AI Tourism Negeri Melaka.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, aplikasi baharu itu akan memberikan pengalaman baharu secara maya untuk pelancong ke negeri ini.

Jelas beliau, aplikasi tersebut akan dilancarkan hujung tahun ini iaitu bersempena pelancaran Tahun Melawat Melaka 2.0 di Encore Melaka.

“Aplikasi ini akan dilengkapi dengan pelbagai elemen dan ciri yang akan membantu pelancong di Melaka.

“Ia juga boleh memberikan pengalaman pelancongan secara maya, di mana, pelancong boleh mengakses ke destinasi pelancongan yang ada di negeri ini bagi mendapat gambaran lebih jelas tentang apa yang menarik di produk pelancongan itu.

“Jadi, ini adalah antara penambahbaikan yang akan kita lakukan dalam memperkasa sektor pelancongan negeri sepanjang tahun depan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Dewan Komuniti Telok Mas, baru-baru ini.

Terdahulu, pada pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026, 5 Disember lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengumumkan aplikasi Smart AI Tourism Negeri Melaka akan diperkenalkan bagi meningkatkan dan mengubah pengalaman pelancong berteraskan digital.

Selain Smart AI Tourism Negeri Melaka, Ketua Menteri memaklumkan, Melaka Digital Explorer Pass iaitu kad pintar pelbagai kegunaan bagi menggalakkan transaksi tanpa tunai dan kutipan data pelancong juga akan diperkenalkan.

Selain itu, pengusaha warisan tempatan juga mendapat pengiktirafan Kerajaan Negeri dengan menerusi pengenalan Sijil Warisan Asli Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

413
Kongsi :
Previous post MELAKA HARGAI PENGAMAL MEDIA SEBAGAI PENYAMPAI KEBENARAN
Next post DAM AJI MEDIUM PERPADUAN RAKYAT