Sorting by

×

MELAKA PERINTIS KONVENSYEN KOPERASI KARIAH MASJID

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

PENGKALAN BATU 7 Ogos – Melaka mencatat sejarah sebagai negeri pertama menganjurkan Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Negeri, dengan kehadiran lebih 400 peserta yang berlangsung di Auditorium Masjid Al-Azim.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, konvensyen itu menghimpunkan 68 koperasi kariah masjid dari seluruh negeri.

Katanya, objektif utama konvensyen terbabit merupakan usaha memperkukuh peranan masjid sebagai pemacu pembangunan ekonomi ummah di peringkat akar umbi.

“Konvensyen ini berperanan penting dalam menjana pendapatan, membuka peluang pekerjaan, membantu golongan asnaf serta membina daya tahan ekonomi umat Islam melalui platform koperasi kariah masjid.

“Koperasi masjid ini mempunyai potensi besar untuk menggerakkan ekonomi komuniti melalui pelbagai aktiviti termasuk perniagaan kecil, khidmat sosial dan pelaburan strategik, namun kejayaan koperasi bergantung kepada tadbir urus yang telus, sokongan kukuh ahli kariah, serta daya kepimpinan yang berwawasan.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited menyokong pembangunan koperasi ini melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk latihan kemahiran, pembangunan kapasiti pengurusan serta akses kepada sumber kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 (KOKMA’25) yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad; Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Azam Sulaiman; Pengarah SKM Melaka, Mustafa Kamal Mohd Nor serta kenamaan lain.

Pada konvensyen terbabit turut dilancarkan Buku Garis Panduan: Pendaftaran Koperasi Kariah Masjid dan Surau Negeri Melaka serta penyerahan replika cek Dana Bantuan Ekonomi Koperasi Kariah Masjid Negeri Melaka (E-Komas) dan Zakat.

Dalam pada itu, Rahmad turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah menyalurkan sejumlah RM400,000 bagi memperkasa koperasi kariah masjid melalui dua inisiatif utama.

“Pada tahun lalu, sebanyak RM100,000 disalurkan menerusi E-Komas yang telah memberi manfaat kepada 13 koperasi termasuk pelaksanaan projek seperti Baraqah Hub.

“Tahun ini pula, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM300,000 menerusi Dana Pemerkasaan Koperasi Kluster Mikro (E-Mikro) yang melibatkan RM200,000 untuk bantuan kewangan dan RM100,000 bagi pembangunan koperasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

300
Kongsi :
Previous post ‘HEBAT’ SANTUNI RAKYAT SETIAP DUA BULAN
Next post ‘HEBAT’ MESRA RAKYAT, BANTU PERMUDAH URUSAN