
MELAKA PERKASA ‘RAKYAT DIGITAL’ DI KAWASAN LUAR BANDAR
SERI NEGERI 4 Februari – Program Rakyat Digital Melaka akan terus diperkasakan dengan tumpuan diberikan kepada masyarakat di kawasan luar bandar.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program itu memberi pendedahan kepada rakyat mengenai teknologi kecerdasan buatan (AI) yang kini sedang hebat berkembang di seluruh dunia.
Jelas beliau, pendedahan mengenai teknologi terkini amat penting dalam memastikan tiada jurang di antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini.
“Kita memberi tumpuan kepada masyarakat dan pelajar di kawasan luar bandar kerana jika mereka lewat menerima ilmu mengenai AI atau teknologi lain, mereka akan ketinggalan dalam arus kemodenan.
“Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh telah menyediakan peruntukan bagi meneruskan program Rakyat Digital ini supaya manfaatnya sampai kepada rakyat di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bertemu Rakyat (HEBAT) Siri 1/2026 di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, selain Rakyat Digital, Kerajaan Negeri juga akan memperluaskan lagi kemudahan internet atau WiFi percuma di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, kemudahan itu akan ditumpukan di kawasan sekolah rendah agama di bawah Jabatan Agama Islam Melaka, selain lokasi tumpuan pelancongan luar bandar.
“Pada masa sama, kita juga akan menyelesaikan masalah liputan internet di kawasan perkampungan Orang Asli supaya manfaat teknologi terkini dapat dirasai oleh semua,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


