
MELAKA PERKENAL 4 SKIM BAHARU UNTUK ASNAF MAIM
SERI NEGERI 5 Disember – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan memperkenalkan empat skim bantuan baharu untuk asnaf pada tahun 2026.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, empat skim baharu itu dirangka di bawah Skim MeSRa Asnaf, khusus untuk memperluas perlindungan sosial dan meningkatkan kesejahteraan asnaf secara lebih menyeluruh.
Jelas beliau, antara skim baharu yang diperkenalkan adalah Bantuan Simpanan Pelajaran Anak Asnaf Bagi Asnaf Fakir Dan Miskin dengan implikasi kewangan RM60,000 dan Bantuan Rawatan Berkala (Luar Negeri) Bagi Asnaf Ibnu Sabil dengan implikasi kewangan RM360,000.
“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM14,000 bagi Insentif Pembantu Amil Bagi Asnaf Amil dan RM240,000 lagi bagi Bantuan Bina Rumah Asnaf Bagi Asnaf Miskin,” katanya.
Menurut beliau, tambahan skim baharu itu menjadikan sebanyak 14 skim bantuan telah disediakan MAIM untuk membantu lapan golongan asnaf berkelayakan menerusi agihan kutipan zakat.
Jelas beliau, antara skim sedia ada sebelum ini adalah seperti Bantuan Syawal, Bantuan Saraan Anak Sekolah, Bantuan Ramadan, Bantuan Khairat Kematian dan Bantuan Sakit Kronik.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, selain asnaf, Kerajaan Negeri juga komited memastikan institusi masjid dan surau kekal sebagai pusat penggerak komuniti.
Justeru, ujar beliau, sokongan itu akan terus diperkukuh dengan Skim MeSRa Komuniti Masjid, melalui Inisiatif Mengimarahkan Masjid dan Surau di Negeri Melaka, dengan peruntukan RM1.7 juta bagi aktiviti Ihya’ Ramadan.
“Tidak terhenti disitu, kerajaan negeri melalui MAIM juga menyediakan elaun sebanyak RM576,000 kepada Penggali Kubur Masjid Kariah Negeri Melaka, sebagai penghargaan terhadap jasa dan bakti mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


