Sorting by

×

MELAKA PERKENAL CERDAS, PUSAT SEHENTI SARINGAN MASALAH PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 7 Februari – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) memperkenalkan Program Child Evaluation, Referral and Developmental Assessment Services (CERDAS) sebagai pusat sehenti saringan perkembangan awal kanak-kanak di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa, berkata program itu diwujudkan bagi menangani isu tempoh menunggu yang lama untuk mendapatkan temu janji pemeriksaan pakar terutamanya melibatkan saringan pendengaran, pertuturan dan perkembangan awal kanak-kanak.

“Dalam keadaan biasa, apabila kanak-kanak mempunyai masalah-masalah ini, ibu bapa akan membawa mereka ke klinik kesihatan (KK) dan di KK, kita akan melakukan saringan seterusnya merujuk sama ada untuk saringan pendengaran, pertuturan ataupun berjumpa dengan pakar kanak-kanak di Hospital Melaka.

“Jadi melalui program ini, kita mewujudkan konsep ‘one stop centre’ di Klinik Kesihatan (KK) Seri Tanjung dan program ini telah bermula sejak Januari yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Karnival Kesihatan MADANI Jom Sihat 2026 sempena Hari Kanser Sedunia dan Mouth Cancer Awareness Month (ACAM) di sini, hari ini.

Terdahulu karnival berkenaan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem dan Pengerusi WYF, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Dr. Ruzita berkata sejak beroperasi awal tahun ini, KK berkenaan sudah menerima seramai lapan kanak-kanak yang memerlukan saringan khusus.

“Pemeriksaan dilaksanakan secara menyeluruh dengan penglibatan pakar kanak-kanak, pakar audiologi, pakar pertuturan serta pakar psikiatri.

“Dalam tempoh satu hari sahaja, kita boleh mengesahkan sama ada kanak-kanak itu mempunyai masalah perkembangan atau tidak, seterusnya merancang rawatan susulan yang sesuai yang mana dengan cara ini jauh lebih cepat berbanding proses biasa yang boleh mengambil masa berbulan-bulan,” jelasnya.

Dr. Ruzita berkata, Program CERDAS akan diteruskan secara berperingkat dan memberi fokus kepada kanak-kanak berumur dua tahun dan ke atas serta terbuka kepada semua penduduk di seluruh negeri.

“Ibu bapa boleh datang secara ‘walk-in’ ke KK Seri Tanjung tanpa memerlukan surat rujukan dan caj yang dikenakan hanyalah RM6,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihaknya sedang berusaha menyediakan ruang khas bagi pelaksanaan program itu supaya tidak mengganggu perkhidmatan harian klinik kesihatan sedia ada.

“Pengesanan dan rawatan awal sangat penting kerana lebih awal kita bertindak, lebih baik perkembangan kanak-kanak tersebut pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

461
Kongsi :
Previous post 50 LOKASI BAZAR RAMADAN, LAPAN BAZAR AIDILFITRI SELURUH MELAKA