Sorting by

×

MELAKA PERKENAL LAFAZ TAKLIK PERNIKAHAN DALAM BRAILLE

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BEMBAN 27 Jun – Melaka menjadi negeri pertama menyediakan lafaz taklik pernikahan dalam bentuk tulisan ‘braille’ bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam mendekatkan agama Islam dengan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau keupayaan fizikal.

“Inisiatif ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan inklusif dalam memastikan kebajikan semua lapisan masyarakat terbela.

“Diharap sambutan Maal Hijrah kali ini dapat mengeratkan ukhuwah, membawa keberkatan dan memperkukuh semangat MADANI dalam kalangan rakyat Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka 1447H / 2025M ‘Membangun Ummah MADANI’ di Masjid Al-Hakeem Kampung Tehel di sini, semalam.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Terdahulu pada majlis sama Tun Dr. Mohd Ali turut menyempurnakan peluncuran Buku Tatacara dan Panduan Pengurusan Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam Negeri Melaka dan Inovasi Lafaz Taklik Dalam Tulisan Braille Negeri Melaka.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Turut hadir Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Raziff Yakop.

Menurut beliau, sepanjang bulan Muharam ini, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah merangka lebih 30 program keagamaan untuk menyemarakkan lagi syiar Islam di negeri ini.

“Antara program yang telah dirancang termasuk ceramah agama perdana, sambutan hari asyura dan menyantuni anak yatim, program ziarah mahabbah, street dakwah, gegau Subuh serta banyak lagi.

“Kita mahu Melaka menjadi negeri contoh dalam membawa perubahan positif yang memberi manfaat kepada generasi kini dan akan datang. Inilah semangat hijrah yang mahu kita sematkan dalam jiwa masyarakat,” katanya

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

592
Kongsi :
Previous post 12 TOKOH DIIKTIRAF SEMPENA MAAL HIJRAH DI MELAKA
Next post 37 CALON STPM MELAKA PEROLEH PNGK 4.0