Sorting by

×

MELAKA PERKENAL LEBIH 800 INISIATIF PELANCONGAN SEMPENA WTD 2025

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

BANDA HILIR 5 Julai – Melaka telah memperkenalkan lebih 800 inisiatif pelancongan menarik pada tahun ini bagi merealisasikan sasaran kehadiran 16.5 juta pelancong.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu juga merupakan sebahagian kempen bagi mempromosikan negeri ini dipilih menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang dijadual pada 27 hingga 29 September depan.

Menurut beliau, kurang tiga bulan lagi sebelum detik bersejarah itu, Kerajaan Negeri bersama penggiat pelancongan telah menyediakan beberapa program istimewa, antaranya, pakej penginapan promosi eksklusif, tiket masuk RM10 ke beberapa tarikan utama terpilih dan menu makan RM10 di restoran-restoran terpilih.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperkasakan semula permainan tradisional seperti dam aji dan konda kondi, khusus sebagai tarikan pelancongan belia dan keluarga, selain promosi golf premium di empat kelab golf berprestij di negeri ini.

“Pada masa sama, turut diadakan kempen cabutan bertuah menarik dengan tawaran hadiah premium serta kerjasama di antara Melaka River Cruise dan Hard Rock Cafe yang menyediakan kemeja t edisi terhad sempena WTD2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pra-Peluncuran WTD 2025 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO di perkarangan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Majlis itu telah disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad dan duta dan pesuruhjaya tinggi ke Malaysia; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain dif kehormat.

Menurut Ab Rauf, antara acara menarik yang akan diadakan bersempena WTD 2025 adalah Global Meet Session yang akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh dengan kerjasama Tourism Malaysia.

Beliau berkata, himpunan itu dijangka membabitkan kehadiran lebih 3,000 delegasi dari 159 buah negara, bersama 500 ahli sektor swasta United Nations World Tourism Organization (UNWTO), yang terdiri daripada pemimpin pelancongan global, pembuat dasar dan media antarabangsa.

“Bersempena acara istimewa ini, kami menyokong penuh inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menjemput semua negeri di Malaysia bagi mempersembahkan kekuatan pelancongan masing-masing di MITC.

“Biarlah ia menjadi manifestasi nasional tentang perpaduan, kepelbagaian, dan kemakmuran bersama melalui pelancongan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

335
Kongsi :
Previous post MELAKA SUDAH SEDIA JADI TUAN RUMAH ACARA PELANCONGAN DUNIA
Next post MALAYSIA DIIKTIRAF LIMA DESTINASI PALING MESRA MUSLIM