Sorting by

×

MELAKA PERKUKUH SISTEM KEHAKIMAN SYARIAH MELALUI CADANGAN RUU BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 1 Disember- Usaha memperkasakan sistem kehakiman syariah di Melaka diteruskan menerusi cadangan Rang Undang-Undang Enakmen Mahkamah Syariah Negeri Melaka yang bakal memperkemas struktur pentadbiran kehakiman negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri mencadangkan pemindaan Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Fi) bagi menambah baik pengurusan kes serta meningkatkan kadar kutipan fi, selaras dengan keperluan semasa dan kecekapan sistem kehakiman.

Katanya, perkembangan itu membuktikan bahawa Melaka bukan sahaja menegakkan hukum, malah memastikan keadilan dapat dirasai oleh setiap lapisan rakyat.

“Saya menaruh harapan yang tinggi agar sistem kehakiman syariah negeri terus berkembang serta menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

“Langkah ini dilihat sebagai komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh institusi kehakiman syariah, selain memastikan pengurusan mahkamah berada pada tahap yang lebih sistematik, berkesan dan diyakini masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan Perasmian Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Melaka 2025 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut memaklumkan sehingga 17 November tahun ini, sebanyak 4,590 kes direkodkan dan 3,017 daripadanya telah diselesaikan.

“Statistik ini bukan angka semata-mata, namun ia bukti bahawa sistem keadilan kita semakin tangkas, responsif dan diyakini.

“Pelbagai inisiatif dilaksanakan menerusi reformasi penggunaan Sistem e-Syariah Versi 3 yang menjadikan perjalanan kes lebih mudah, telus dan cepat.

“Selain itu, inisiatif bayaran bantuan guaman serendah RM10 menjadi penyokong bagi memastikan rakyat golongan B40 mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

171
Kongsi :
Previous post 20 LOKASI BERISIKO TERJEJAS FENOMENA AIR PASANG BESAR, PENDUDUK DINASIHAT BERWASPADA