Sorting by

×

MELAKA PERLU RM900 JUTA TUKAR PAIP USANG – SAMB

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 5 Jun – Sejumlah kira-kira RM900 juta diperlukan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) bagi menggantikan paip-paip usang di seluruh Negeri Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Mohd Saleh Jusman berkata, kos tersebut merupakan anggaran yang diperlukan bagi menggantikan paip simen asbestos (AC) kepada ‘mild steel’ yang jauh lebih baik, tahan tekanan dan mempunyai jangka hayat lebih lama.

Jelas beliau, penggantian paip baharu itu amat perlu memandangkan paip jenis AC telah digunakan melebihi 40 tahun dan telah melangkaui jangka hayatnya.

“Andai kata penukaran paip ini mengambil tempoh empat tahun, setiap tahun, kita memerlukan kira-kira RM200 juta untuk penukaran paip secara berperingkat.

“Jadi untuk tahun pertama kita telah menghantar permohonan kepada Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) untuk mendapatkan peruntukan tersebut, namun ia mungkin mengambil masa lama.

“Oleh sebab itu, SAMB perlu mencari idea dan pendekatan lebih cepat agar penukaran paip ini dapat dilakukan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran di Podcast ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ di Studio Melaka TV, Kompleks CMI, di sini, baru-baru ini.

Menurut Mohd Saleh, setakat ini, terdapat lebih 344,000 pengguna air berdaftar di seluruh Negeri Melaka dan ia dijangka akan terus meningkat susulan pembukaan lebih banyak taman perumahan dan kawasan industri baharu.

Oleh yang demikian, beliau berkata, adalah penting untuk memastikan masalah bekalan air terjejas disebabkan paip pecah dapat diminimakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2196
Kongsi :
Previous post PPPKAM SOKONG USUL LARANGAN VAPE DI MELAKA
Next post PELAJAR CEMERLANG SPM PUJI KEPRIHATINAN AB RAUF