Sorting by

×

MELAKA PERLUAS KEMPEN INTERNET SELAMAT, SASAR 200 PROGRAM KOMUNITI

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 7 Mac – Melaka akan memperluaskan Kempen Internet Selamat sepanjang tahun ini dengan sasaran sebanyak 200 program melibatkan komuniti.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program tersebut bakal merentasi pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT), badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan bagi melindungi institusi keluarga, kanak-kanak, belia dan warga emas.

Jelas beliau, sepanjang tahun lalu, Kempen Internet Selamat yang digerakkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah menyantuni lebih 12,200 pelajar di 320 buah sekolah serta 11,300 rakyat melalui 37 program komuniti.

“Pada tahun ini, antara program yang telah kita laksanakan adalah bersama masyarakat Tionghua sempena sambutan Tahun Baharu Cina, selain pada Ramadan kita mengedarkan kit berbuka puasa berserta risalah kepada pengunjung di Bazar Ramadan.

“Selain itu, kita juga akan mengadakan majlis berbuka puasa bersama keluarga dan anak-anak istimewa di bawah Parlimen Alor Gajah bagi pendedahan menyeluruh kempen ini.

“Pada masa sama, MCMC akan bersama-sama Kerajaan Negeri dalam program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang melibatkan segenap lapisan komuniti, termasuk masyarakat di kawasan luar bandar dan Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Walkabout Kempen Internet Selamat 2026 @ Bazar Ramadan Masjid Al-Alami MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee dan Pengarah MCMC Negeri Melaka Khairol Nizam Mohd Mostar.

Terdahulu, pada program itu, Fairul Nizam, Chee Yee dan kenamaan telah menyantuni pengunjung bazar sambil mengedarkan kit Ramadan yang mengandungi risalah panduan keselamatan internet.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

191
Kongsi :
Previous post 120 GOLONGAN KURANG MAMPU DALAM PARLIMEN TANGGA BATU TERIMA BANTUAN RAMADAN
Next post PELAJAR MALAYSIA DIMINTA TANGGUH PERJALANAN KE TIMUR TENGAH