Sorting by

×

MELAKA PERSIAP ANAK-ANAK MUDA HADAPI DUNIA AI, DIGITAL

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PANTAI KUNDOR 12 Januari – Kerajaan Melaka mahu memastikan anak-anak yang berada di bangku sekolah diasuh dan dididik dengan nilai-nilai rohani dan jasmani sebagai persediaan menempuh dunia ‘terbuka’ pada masa akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, generasi muda masa kini bakal berdiri dan menempuh dunia kehidupan nyata yang serba mencabar dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Jelas beliau, dalam dunia digital dan kecerdasan buatan (AI) ini, anak-anak pada masa kini memerlukan satu asuhan khusus yang tidak meninggalkan peradaban kemanusiaan dan nilai-nilai Melayu supaya mereka tidak tersasar dengan perubahan yang berlaku.

“Pastinya pendidikan rohani dan jasmani ini amat penting dalam mengiringi kehidupan anak-anak dalam tempoh 10 tahun lagi.

“Saya melihat dunia yang terlalu terbuka itu nanti mesti ada satu asuhan yang memberi penekanan kepada peradaban yang akan memberikan nilai kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak kita.

“Ini termasuklah merangkumi asas budaya dan nilai-nilai agama agar anak-anak diasuh dengan lebih baik dan dapat menghadapi dunia masa depan yang penuh cabaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Lawatan Rasmi Hari Pertama Sesi Persekolahan dan Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2026, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Gelam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, usaha awal yang dilakukan Kerajaan Negeri dalam membentuk peribadi anak-anak di negeri ini amat penting memandangkan merekalah yang akan mewarnai dan mencorak masa depan negara suatu hari nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

382
Kongsi :
Previous post 118 SEKOLAH DI MELAKA DIIKTIRAF SEKOLAH INSPIRASI
Next post BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN DI MELAKA DIAGIH SECARA BERPERINGKAT BERMULA HARI INI