
MELAKA PERUNTUK LEBIH RM20 JUTA UNTUK KEBAJIKAN RAKYAT MEMERLUKAN
SERI NEGERI 5 Disember – Sejumlah lebih RM20 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat memerlukan di seluruh negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia merangkumi pelbagai bentuk bantuan menerusi Skim Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), khususnya kepada asnaf dan golongan rentan.
Jelas beliau, peruntukan tertinggi adalah Bantuan MeSRa Am kepada 2,940 penerima daripada golongan miskin berjumlah RM11.4 juta.
“Selain itu, Bantuan MeSRa Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin turut disediakan untuk 1,076 keluarga yang terlibat dalam kerja pembersihan surau, masjid dan tanah perkuburan dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.
“Bantuan MeSRa Lampin Pakai Buang Dewasa pula memperuntukkan RM2.1 juta kepada 3,179 penerima dan Bantuan MeSRa Susu Orang Terlantar kepada 380 penerima dengan peruntukan RM1.7 juta.
“Pada masa sama, RM200,000 diperuntukkan bagi Bantuan MeSRa Pengurusan Jenazah B40 berjumlah bagi meringankan kos pengurusan jenazah golongan B40,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026 yang bertemakan ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’ di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Tambah Ketua Menteri, bagi memperkasa 37,356 Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM650,000 merangkumi pelbagai program.
Jelas beliau, antara program yang disediakan adalah seperti Program MeSRa OKU untuk atlet Para SUKMA, latihan kemahiran percuma, penambahbaikan peralatan pemulihan dan fisioterapi serta pertandingan sukan dan bakat OKU Negeri Melaka.
Dalam pada itu, mengambil kira negara dijangka menjadi negara tua menjelang 2030, Kerajaan Negeri juga sedang meneliti kajian penubuhan Pusat Jagaan Warga Emas bagi mengisi kekosongan jangka panjang di negeri ini.
Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM500,000 bagi memperkasa golongan wanita dengan pelaksanaan Program Wanita Inspirasi Melaka iaitu satu wadah memperkasa kepimpinan, memperluas pendidikan, memperkukuh keselamatan sosial serta memperteguh advokasi menentang keganasan rumah tangga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


