Sorting by

×

MELAKA PERUNTUK RM1 JUTA BANTU NELAYAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 9 Disember – Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membantu nelayan termasuk yang terjejas susulan projek tambakan laut.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, peruntukan itu diberikan ecara ‘one-off’ sebagai langkah adil agar kebajikan nelayan tidak terabai walaupun pembangunan di persisiran pantai diteruskan.

Katanya, langkah itu juga dilaksanakan bagi memastikan kebajikan nelayan tidak terpinggir.

“Tambakan laut dilakukan untuk pembangunan negeri tetapi kita tidak boleh tinggalkan nelayan yang terkesan. Sebab itu kita salurkan RM1 juta ini untuk bantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut beliau, peruntukan tersebut bukan sekadar bantuan peralatan, malah akan dimanfaatkan ke arah pembangunan ekonomi melalui projek akuakultur bagi memberi nilai tambah kepada pendapatan nelayan.

“Melalui inisiatif ini, nelayan digalakkan mengusahakan projek akuakultur seperti ternakan udang atau hasil laut lain secara berkelompok di bawah satu kperasi bersama persatuan nelayan.

“Projek sama telah dilaksanakan oleh persatuan nelayan di Jasin manakala di Melaka Barat pula, projek ternakan udang sudah dirancang dan akan diperluaskan ke kawasan lain secara berperingkat.

“Inisiatif akuakultur diperkenalkan bagi menampung kekurangan hasil tangkapan nelayan yang terjejas bagi menjana pendapatan tambahan yang lebih stabil susulan aktiviti tambakan laut,” katanya.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi menyelaras pelaksanaan projek tersebut selain memastikan maklumat nelayan diselaras dengan lebih sistematik.

Dr. Muhamad Akmal turut meminta semua nelayan agar berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) masing-masing bagi memastikan sebarang bantuan dapat disalurkan secara telus dan berkesan.

“Kita memang ada data nelayan berlesen di bawah Jabatan Perikanan, namun untuk elak berlaku keciciran akibat pertukaran maklumat atau nombor telefon, kita minta semua berdaftar dengan PNK supaya saluran bantuan lebih tersusun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

263
Kongsi :
Previous post MELAKA TAMBAH PERUNTUKAN RANCAKKAN PEMBANGUNAN USAHAWAN, KOPERASI
Next post 55 RUMAH PPRS DIBINA DI MELAKA SEPANJANG 2025, 188 DIBAIK PULIH