Sorting by

×

MELAKA PERUNTUK RM13.7 JUTA BELA KEBAJIKAN RAKYAT SEMPENA RAMADAN, SYAWAL

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PENGKALAN BATU 6 Mac – Sejumlah RM13.7 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi membela kebajikan rakyat memerlukan sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, daripada jumlah itu, sejumlah RM11.9 juta diperuntukkan sepanjang Ramada bagi pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan khususnya kepada asnaf, fakir, miskin dan mualaf.

Selain itu, kata beliau, bagi persiapan Aidilfitri pula, Kerajaan Negeri turut menyalurkan Bantuan Syawal berjumlah RM1.8 juta yang memberi manfaat kepada 11,351 orang penerima.

“Bantuan dan sumbangan ini adalah cerminan jelas kepimpinan Kerajaan Negeri yang dekat dan peka terhadap keperluan rakyat yang benar-benar memerlukan.

“Mewakili Kerajaan Negeri, saya amat berharap mudah-mudahan sumbangan ini memberi sinar kegembiraan, menyemai kasih sayang dan ukhuwah antara kerajaan dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Iftar Jamaie Mega Kerajaan Negeri Melaka Bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dataran Pusat Islam, Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, hari ini.

Hadir sama, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Tambah Ab Rauf, sepanjang Ramadan, Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha memastikan bulan mulia ini terus diimarahkan melalui program keagamaan dan kemasyarakatan yang memperkukuh ketakwaan serta mengeratkan silaturahim.

Jelas beliau, ia termasuklah penganjuran Iftar Jamaie Mega Negeri Melaka siri kelima yang telah diadakan sejak 2022, di mana menerusi program ini, Kerajaan Negeri berbesar hati menyediakan juadah berbuka kepada lebih 3,000 rakyat Melaka secara percuma.

“Ini menjadikan simbol kebersamaan keluarga besar Melaka berpaksikan Melaka Sayang Rakyat. Semoga usaha ini terus memperteguh semangat kekeluargaan dalam kalangan rakyat dan memantapkan komitmen kerajaan negeri: Melaka Sayang Rakyat, Demi Rakyat Untuk Rakyat,” katanya.

/END

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post GAGASAN MESRA BUKTI KERAJAAN MELAKA SENTIASA DI SISI RAKYAT
Next post AL-AZHAR SETUJU JADIKAN UNIMEL PUSAT PASCASISWAZAH