Sorting by

×

MELAKA PERUNTUK RM4.4 JUTA PERKASA KESIHATAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 8 Februari – Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM4.4 juta di bawah Skim Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Kesihatan Awam bagi melaksanakan pelbagai inisiatif kesihatan bertujuan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Peruntukan tersebut merangkumi pelaksanaan beberapa program utama termasuk Program MBIO Sihat yang menawarkan saringan kesihatan percuma bagi pengesanan awal penyakit tidak berjangkit dan kanser; Program MeSRa Ambulans bagi membantu pesakit terlantar khususnya dalam kalangan keluarga B40; Program Jom Sihat; Tabung Bantuan Dialisis Negeri Melaka serta inisiatif Satu PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) Satu Ambulans yang dijadual dilancarkan pada April 2026.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, bagi program MBIO Sihat, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM800,000 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Katanya, program tersebut merangkumi perkhidmatan secara percuma kepada individu berkelayakan terutama melihatkan golongan B40 dan warga emas.

“Selain itu, menerusi Program Jom Sihat, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi melaksanakan program kesihatan serta Tabung Bantuan Dialisis yang mana kita berikan RM300 kepada pesakit berkelayakan.

“Di samping itu, inisiatif ‘Satu Ambulans Satu PBT’ turut diberikan kepada empat PBT di negeri ini bagi membantu pihak hospital mengatasi masalah kelewatan disebabkan jarak perjalanan atau kepadatan untuk membawa pesakit dalam keadaan kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Karnival Kesihatan MADANI Jom Sihat 2026 sempena Hari Kanser Sedunia dan Mouth Cancer Awareness Month (ACAM) di sini, semalam.

Terdahulu karnival berkenaan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Pengerusi WYF, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ruzita Mustaffa.

Mengulas lanjut Hee Sem berkata, penganjuran pelbagai aktiviti dan inisiatif itu juga seiring dengan prinsip Melaka Sayang Rakyat, yang memberi penekanan kepada kebajikan rakyat melalui penyediaan perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, inklusif dan berfokuskan keperluan komuniti.

Tambahnya, pelaksanaan program kesihatan yang dirangka secara bersepadu itu diharap dapat membantu mengurangkan beban rakyat, khususnya golongan memerlukan, di samping memperkukuh sistem kesihatan awam negeri secara keseluruhan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

324
Kongsi :
Previous post MELAKA BILA LARUT MALAM JADI NADI EKONOMI RAKYAT
Next post MELAKA PERHEBAT PROMOSI PELANCONGAN DI INDIA