
MELAKA PERUNTUK RM78.67 JUTA UNTUK KEBAJIKAN RAKYAT
KLEBANG 4 Mac – Peruntukan kebajikan rakyat Melaka terus meningkat saban tahun, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri menghulur tangan membantu meringankan setiap denyut nadi rakyat memerlukan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM78.67 juta bagi agenda kebajikan, di mana jumlah itu meningkat berbanding RM76.96 juta tahun lalu dan RM66.07 juta pada 2024.
Jelas beliau, peningkatan itu bukan sekadar angka yang dibentangkan, sebaliknya ia untuk dirasai rakyat selaras dengan pentadbiran yang menetapkan kebajikan sebagai nadi utama di negeri ini.
“Setiap ringgit bantuan adalah simbol komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri untuk memastikan setiap rakyat, tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang, menerima manfaat pembangunan dan kebajikan secara adil dan saksama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Negeri Melaka yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Dataran Klebang, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, data terkini menunjukkan bahawa Melaka kini Melaka dihuni kira-kira 1.05 juta penduduk.
Daripada jumlah itu, jelas beliau, sekitar 72.8 peratus adalah Melayu, 21.1 peratus masyarakat Cina dan 5.5 peratus masyarakat India, serta kaum-kaum lain yang turut mewarnai negeri ini.
“Setiap peratus ini adalah keluarga Melaka yang perlu saya santuni kerana Melaka tidak dibina oleh satu kaum sahaja. Melaka dibina oleh tangan yang berbeza, tetapi dengan cita-cita yang sama,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


