
MELAKA PILIHAN PEMAJU HARTANAH
PAYA RUMPUT 14 Februari – Peningkatan jumlah syarikat pemaju perumahan yang bertapak di Melaka secara tidak langsung membuktikan negeri ini sebagai destinasi pilihan pelaburan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan terbaharu Melaka adalah peluncuran Projek Scientex Melaka di Mukim Paya Rumput melibatkan pembangunan 7,400 pelbagai kategori kediaman di tapak seluas 213 hektar seperti rumah teres dua tingkat dengan harga bermula sekitar RM285,000 hingga RM328,000
Lebih utama dan menarik perhatian Ketua Menteri, hampir separuh daripada jumlah tersebut iaitu sebanyak 3,700 unit adalah Rumah Mampu Milik. Ini termasuk Rumah Kos Sederhana Rendah dan Rumah Pangsa Kos Rendah dengan harga antara RM70,000 hingga RM250,000.
“Inilah yang selalu saya tegaskan, pembangunan tidak boleh hanya melihat kepada keuntungan pasaran. Ia mesti membuka peluang pemilikan kepada rakyat khususnya golongan muda dan keluarga berpendapatan sederhana serta rendah.
“Paling penting, projek ini mesti membawa manfaat kepada rakyat, pembangunan mesti seimbang, ekonomi mesti bergerak dan rakyat juga mesti terbela,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Scientex Melaka, Mukim Paya Rumput di Pejabat Jualan Scientex Heights Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim, Saliran dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin.
Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Datuk TPr. Murad Husin, Pengarah Scientex Heights Sdn Bhd Melaka, Datuk Alex Khaw; Pengarah Projek Scientex Heights Sdn Bhd
Melaka, Datuk Lim Man Wang dan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ngoh Chun How.
Ab Rauf yakin projek ini akan memberi nilai tambah kepada kawasan Paya Rumput dans ekitarnya, namun menegaskan pembangunan mesti dibuat dengan penuh tanggungjawab.
“Aspek kebersihan, keselamatan dan keselesaan adalah keutamaan yang menjadi kewajipan semua pemaju yang ingin membangunkan rumah di atas tanah Melaka.
“Walaupun ia dinamakan Rumah Mampu Milik, kualiti tidak boleh dijadikan perkara remeh malah tetap menjadi keutamaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


