
MELAKA RAI 2,000 WIRA KESIHATAN
AYER KEROH 5 Ogos – Seramai 2,000 petugas kesihatan seluruh Negeri Melaka diraikan pada Majlis Sanjungan Budi dan Apresiasi Petugas Kesihatan Negeri Melaka Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata majlis tersebut merupakan malam penghargaan kepada kakitangan kesihatan terdiri daripada pelbagai skim di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka termasuk petugas kesihatan dari empat hospital swasta di negeri ini.
Menurut Ketua Menteri, penghargaan itu bukan sahaja diberikan kepada doktor, jururawat, pembantu perubatan, pemandu ambulans, kakitangan sokongan, malah seramai 214 pesara pada tahun ini yang suatu ketika dahulu mencurah bakti tanpa mengira siang dan malam.
“Dalam memperkukuh ekosistem
kesihatan negeri, Kerajaan Negeri dan Persekutuan sentiasa prihatin terhadap keperluan dan cabaran sektor kesihatan di negeri ini.
“Besar makna kami di Melaka apabila Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM45.49 juta untuk menaik taraf fasiliti kesihatan melibatkan 34 klinik kesihatan, tujuh klinik pergigian, tiga klinik desa dan tiga hospital,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem serta kenamaan lain.
Pada majlis penghargaan itu, turut disampaikan lima anugerah kepada petugas kesihatan yang telah memberi khidmat cemerlang dan mengharumkan nama Melaka.
Ab Rauf berkata, kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka diharapkan dapat diperkukuh dari semasa ke semasa.
“Sinergi ini amat penting dalam memastikan setiap perancangan, pelaksanaan serta pemantauan inisiatif kesihatan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, cekap dan menyeluruh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.