Sorting by

×

MELAKA RAI WIRA NEGARA SEMPENA 20 FEBRUARI

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

TELOK MAS 20 Februari – Kerajaan Negeri menghargai 100 jasa pesara tentera dan polis bersempena Hari Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Negara pada tanggal 20 Februari, hari ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sambutan itu diadakan sebagai mengiktiraf pengorbanan wira negara yang telah berjuang sehingga negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

“Kita bersyukur kerana sehingga hari ini negara kita kekal aman dan tenteram hasil pengorbanan anggota keselamatan, termasuk pesara tentera dan polis.

“Justeru, tarikh pengisytiharan kemerdekaan pada 20 Februari 1956 wajar dikenang sebagai detik bersejarah penting buat rakyat negeri dan negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Gema Ramadan Bersama Pesara Tentera dan Polis Negeri Melaka Sempena Pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Masjid As-Saadah, Ujong Pasir, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad dan Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Halim Abas.

Majlis itu menghimpunkan kira-kira 100 pesara anggota keselamatan sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan yang telah diberikan kepada negeri dan negara.

Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata, majlis itu juga bakal menjadi permulaan kepada program berbuka puasa bersama rakyat di tujuh buah masjid dalam kawasan DUN Telok Mas sepanjang Ramadan.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

437
Kongsi :
Previous post 20 FEBRUARI 1956: SIMBOL KESEPADUAN RAKYAT BINA NEGARA BANGSA