
MELAKA REKOD 530 KES TIBI TAHUN LALU
SUNGAI UDANG 24 Mei – Sebanyak 530 kes tibi telah direkodkan di seluruh Negeri Melaka pada tahun lalu, dengan kadar insiden 48.6 per 100,000 penduduk.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, jumlah itu bagaimanapun masih lagi rendah berbanding purata sehingga 700 kes yang pernah direkodkan pada tahun sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.
Jelas beliau, sepanjang 2024, daerah Melaka Tengah mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 335 kes, diikuti daerah Alor Gajah dan Jasin, manakala 57 kematian akibat tibi telah dilaporkan.
“Antara cabaran utama penyakit ini adalah kelewatan pengesanan kes. Sehubungan itu, beberapa strategi sedang giat dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka termasuklah mengadakan saringan aktif tibi di kawasan berisiko dan institusi tertutup seperti penjara.
“Pada masa sama, kerjasama turut dijalinkan bersama klinik panel PERKESO, klinik swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperluaskan akses diagnosis, di samping mempergiat kempen kesedaran masyarakat melalui media, ceramah dan aktiviti pendidikan kesihatan di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 dan Kembara Wellness On Wheel sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Japerun Sungai Udang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi@Mohd Hashim; Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Hee Sem turut menasihatkan mereka yang mempunyai gejala batuk berpanjangan melebihi dua minggu, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, penurunan berat badan dan batuk berdarah untuk segera mendapatkan pemeriksaan di klinik kesihatan dan hospital berdekatan.
Ia jelasnya amat penting supaya rawatan awal dapat diambil, selain dapat mencegah penyebaran tibi kepada orang lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.