Sorting by

×

MELAKA REKOD KUTIPAN ZAKAT HAMPIR RM60 JUTA SUKU KEDUA 2025

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 Mei – Kutipan zakat di Melaka terus menunjukkan peningkatan apabila merekodkan kutipan zakat hampir RM60 juta setakat suku kedua tahun ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, daripada jumlah kutipan itu zakat pendapatan merekodkan nilai tertinggi, diikuti zakat wang simpanan, zakat perniagaan dan zakat fitrah.

“Zakat pendapatan menyumbang sebanyak RM31.8 juta daripada jumlah keseluruhan kutipan RM59.8 juta sehingga suku kedua 2025.

“Manakala zakat wang simpanan pula merekodkan kutipan sebanyak RM11.7 juta dan zakat perniagaan berjumlah RM7.8 juta dalam tempoh sama.

“Sementara itu, kutipan zakat fitrah pula mencatatkan peningkatan dengan jumlah RM6.6 juta berbanding RM6.1 juta pada tahun sebelumnya,” katanya.

Rais berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Penutupan Simposium Zakat 2025: Kelestarian Tatakelola Pengurusan Zakat (SiPZ25), di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) Datuk Selamat Paigo; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad serta lain-lain kenamaan.

Menurut Rais, kutipan zakat yang tinggi akan menjadi pemangkin utama dalam memperluaskan jaringan bantuan kepada golongan asnaf sekali gus dapat memperkukuh ekosistem pembangunan sosioekonomi umat Islam.

“Pencapaian cemerlang ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa pendekatan progresif Zakat Melaka melalui pelaksanaan kempen kesedaran yang berterusan serta kolaborasi strategik.

“Malah Ketua Menteri juga kerap menekankan kepentingan berzakat dalam setiap perhimpunan bulanan penjawat awam selain turut meminta agar semua penjawat awam menunaikan zakat tanpa culas,” katanya.

Jelasnya, penganjuran Simposium Zakat 2025 amat bertetapan dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sistem pengurusan zakat yang efisien, telus dan berkesan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

460
Kongsi :
Previous post MELAKA, WESTSTAR BANGUNKAN PUSAT KECEMERLANGAN PENERBANGAN DI LTAM
Next post WRUR: 19 KAMPUNG DI LENDU DAPAT ALAMAT BAHARU DILENGKAPI KOD QR