
MELAKA RIVER CRUISE DITUTUP 1 SYAWAL, KEMBALI BEROPERASI RAYA KEDUA
DUYONG 15 Mac – Melaka River Cruise menutup operasi pada 1 Syawal bagi memberi ruang dan peluang kepada warga kerja menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, produk pelancongan ikonik Melaka itu akan kembali beroperasi seperti biasa pada raya kedua.
“Untuk makluman, kita tidak akan beroperasi pada hari raya pertama untuk memberi peluang kepada kakitangan meraikan lebaran bersama keluarga.
“Namun pada hari raya kedua, kita akan beroperasi seperti biasa iaitu bermula pada jam 9 pagi dan operasi mungkin dilanjutkan sehingga 1 pagi sebagai kelaziman yang kita buat setiap kali cuti umum,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Khatam Al-Quran Anjuran PPSPM Dengan Kerjasama Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab dan Masjid Fathur Rahman di Dataran Pengkalan Rama, di sini, pada Khamis.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Menurut Shaharul Azuar, pihaknya akan mengekalkan kekuatan petugas yang sama seperti hari biasa sepanjang operasi Melaka River Cruise pada Aidilfitri nanti.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


