Sorting by

×

MELAKA RIVER CRUISE SEDIA TERIMA RIBUAN PENGUNJUNG AIDILFITRI INI

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

BANDARAYA MELAKA 18 Mac – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menjangkakan hingga 5,000 pengunjung sehari akan menaiki Melaka River Cruise sepanjang tempoh cuti umum dan Aidilfitri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, peningkatan itu didorong oleh tarikan suasana warisan budaya di sepanjang Sungai Melaka yang sentiasa menjadi pilihan pelancong tempatan dan luar.

Menurutnya, pihaknya telah membuat persediaan rapi bagi memastikan operasi berjalan lancar sekiranya berlaku kebanjiran pengunjung.

“Untuk waktu cuti umum khususnya musim perayaan, kita di Sungai Melaka sudah bersedia menerima peningkatan pengunjung.

“Kebiasaannya anggaran pengunjung yang menaiki Melaka River Cruise boleh mencecah antara 3,000 hingga 5,000 orang sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Perhimpunan Bulanan PPSPM di Pejabat PPSPM Pengkalan Rama, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat PPSPM Khairunnisa Ibno Masooda serta kakitangan PPSPM.

Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata Melaka River Cruise tidak akan beroperasi pada hari pertama Aidilfitri bagi memberi peluang kepada kakitangan PPSPM menyambut hari raya bersama keluarga.

Namun katanya, operasi akan kembali berjalan seperti biasa bermula hari raya kedua dengan kekuatan seramai 60 kakitangan operasi serta 40 buah bot yang disediakan.

“Jika hari raya jatuh pada hari Jumaat dan disusuli Sabtu serta Ahad, saya yakin Melaka River Cruise akan menjadi tumpuan pelancong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

409
Kongsi :
Previous post RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MERLIMAU PADA 4 APRIL
Next post OMSMC RAI SEMANGAT KEBERSAMAAN SEMPENA RAMADAN