
MELAKA RIVER CRUISE TUAI PUJIAN, JADI MODEL PRODUK PELANCONGAN BERI IMPAK KEPADA KOMUNITI
BANDARAYA MELAKA 3 Julai – Kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelancongan yang ditawarkan Melaka River Cruise mendapat pujian Delegasi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat (JKPK HESM) Majlis Mesyuarat Dewan Negara.
Ia selepas delegasi itu memilih produk pelancongan ikonik Melaka itu sebagai salah satu projek bagi menilai impaknya terhadap sosioekonomi komuniti setempat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris, delegasi seramai 50 orang yang diketuai Pengerusi JKPK HESM Senator Datuk Dr. Hatta Ramli dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Dewan Negara, Parlimen Malaysia Adlina Aisyah Ahmad Rusli telah dibawa menikmati pelayaran dengan Melaka River Cruise bagi melihat keindahan panorama Sungai Melaka pada waktu malam.
Tambahnya, delegasi berkenaan juga turut dibawa menikmati makan malam istimewa diiringi ‘live band’ di Kafe Mendam Berahi, iaitu satu-satunya kafe berkonsepkan makan di dalam bot yang ada di negeri ini.

“Alhamdulillah, rata-rata delegasi berpuas hati dan memberi maklum balas positif terhadap produk yang disediakan PPSPM, khususnya Melaka River Cruise yang bukan sahaja memaparkan keunikan pelancongan dan warisan negeri, bahkan turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat.
“Delegasi juga turut memuji inisiatif pemeliharaan sungai serta penyampaian naratif sejarah yang mampu menarik pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambah Shaharul Azuar, lawatan berkenaan juga dijangka menjadi asas kepada rumusan dan syor yang akan dikemukakan oleh JKPK HESM dalam sesi Dewan Negara akan datang, khususnya berkaitan pembangunan sektor pelancongan dan kesejahteraan masyarakat.
“Mewakili PPSPM, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada delegasi JKPK HESM yang sudi memilih Melaka River Cruise sebagai destinasi pilihan bagi pemantauan dan penilaian produk pelancongan sebagai usaha menambah baik pengurusan, kemudahan dan potensi bagi meningkatkan lagi pengalaman pelancong ke Malaysia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.