Sorting by

×

MELAKA SAHUT SARANAN TPM MENDATANGANI RAMADAN DENGAN SANTUNAN KASIH RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PAYA RUMPUT 24 Januari – Kerajaan Melaka akan menyinari kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi dengan program-program berbentuk kebajikan dan sentuhan kasih rakyat, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Beliau berkata, itu merupakan antara saranan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar mendatangani bulan mulia dengan program sedekah.

“Alhamdulillah Timbalan Perdana Menteri telah mengadakan lawatan dan ziarah pertama ke Negeri Melaka pada tahun 2026 dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput menjadi lokasi pertama kunjungan beliau.

“Pada ziarah ini, beliau telah menyampaikan sumbangan peribadi kepada maahad tahfiz dan madrasah dalam DUN Paya Rumput dan dalam ucapannya beliau turut mengajak semua umat Islam mendatangani Ramadan yang mulia ini dengan memperbanyakkan amalan sedekah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri pada lawatan kerja pertama ke Negeri Melaka ke Pondok Darul Muttaqin, di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri tiba dengan menunggang motosikal bersama kira-kira 50 peserta konvoi sebelum menyampaikan sumbangan kepada sekolah pondok dan madrasah tahfiz di bawah DUN Paya Rumput.

Menurut Rais, selain sumbangan peribadi Timbalan Perdana Menteri, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut menyampaikan sumbangan kit makanan untuk disalurkan kepada warga emas, institusi tahfiz dan komuniti memerlukan di kawasan tersebut.

“Jadi, mewakili warga Paya Rumput, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri di atas keprihatinan beliau kepada golongan memerlukan untuk disantuni sempena ketibaan Ramadan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

388
Kongsi :
Previous post TPM MAHU UBAH TANGGAPAN NEGATIF TERHADAP ‘GENG BIKERS’
Next post TPM SANTUNI ANAK YATIM KAYFAZ