Sorting by

×

MELAKA SALUR RM50,000 PERKASA PERANAN ASKAR WATANIAH

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KLEBANG 24 Januari – Kerajaan Melaka meluluskan peruntukan berjumlah RM50,000 bagi memperkasa peranan askar wataniah di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad berkata, peruntukan itu diluluskan hujung tahun lalu bagi tujuan pembangunan dan kebajikan pasukan yang menjadi antara tonggak penting dalam memperkukuh keselamatan negeri dan negara.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Melaka memaklumkan, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM30,000 diperuntuk bagi pembangunan askar wataniah di Kem Bukit Beruang dan RM20,000 lagi disalurkan kepada Tabung Kebajikan Rejimen 514 Askar Wataniah Negeri Melaka.

“Sumbangan ini bertitik tolak daripada pelbagai rekod pencapaian yang amat memberangsangkan, selain hubungan erat Kerajaan Negeri bersama pasukan wataniah.

“Semoga dengan sokongan dan dukungan Kerajaan Negeri ini, pasukan 514 Askar Wataniah akan terus cemerlang dan berjaya menempa pelbagai lagi kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pembukaan Latihan Tahunan Askar Wataniah Rejimen Ke-514 Askar Wataniah Bagi Tahun 2026 di Encore Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Dalam pada itu, Azhar turut mengingatkan seluruh pasukan askar wataniah di negeri ini agar sentiasa mementingkan aspek disiplin dan kredibiliti dalam menjaga imej pasukan.

“Sebagai salah seorang anggota sukarela yang terlatih, kesihatan mental dan fizikal perlu diberi perhatian. Pastikan tahap kecergasan, stamina dan penampilan diri sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Ingatlah juga, kejayaan pada hari ini bukan sahaja bergantung kepada seorang individu tetapi kepada kesatuan dan semangat berpasukan yang kita bina bersama.

“Curahkanlah sokongan, bantu dan hormatilah antara satu sama lain kerana kita adalah sebuah keluarga di bawah satu pemerintahan dan ketumbukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

385
Kongsi :
Previous post AGIHAN BAKUL RAHMAH PERSONA RINGANKAN BEBAN RAKYAT ALOR GAJAH
Next post MELAKA HARI INI TERIMA ANUGERAH MEDIA PROAKTIF MPJ