
MELAKA SAMBUT BAIK PENYELARASAN DASAR, PEMBANGUNAN NEGERI
AYER KEROH 14 Julai – Kerajaan Negeri menyambut baik usaha penyelarasan dasar dan pembangunan di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri.
Perkara itu antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-146 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Perdana, Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebagai wakil Kerajaan Negeri Melaka, beliau menzahirkan harapan agar segala keputusan dalam mesyuarat berkenaan menjadi wadah terbaik untuk merencana dan merealisasikan agenda pembangunan inklusif serta mampan buat seluruh rakyat Malaysia.
“Melaka juga terus berusaha memastikan segala dasar dan inisiatif nasional dapat diterjemah kepada kemajuan yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Ini selaras aspirasi menjadikan Melaka terus maju jaya, rakyatnya bahagia, dan menggamit dunia,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Terdahulu, mesyuarat tersebut telah dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama, Menteri-Menteri Kabinet, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.
Manakala, delegasi Kerajaan Negeri Melaka turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.