
MELAKA SARAN SERAGAMKAN SISTEM WAKALAH ZAKAT
BANDARAYA MELAKA 19 Mei – Sistem wakalah zakat perlu diseragamkan di seluruh negara bagi mengelakkan persaingan antara negeri-negeri dalam urusan kutipan zakat.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, saranan itu sekali gus memperkukuh pengagihan zakat kepada golongan asnaf.
“Sistem wakalah (wakil) yang tidak seragam boleh menimbulkan ketidakseimbangan dalam kutipan zakat.
“Kita tidak mahu ada persaingan antara negeri-negeri dalam kutipan zakat. Sebaliknya, perlu ada keseragaman supaya semua negeri dapat mengurus kutipan dan agihan zakat secara adil dan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Simposium Zakat 2025 Kelestarian Tatakelola Pengurusan Zakat (SiPZ25) yang dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Datuk Selamat Paigo, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad.
Dalam pada itu Rahmad turut memaklumkan bahawa Melaka berjaya mencatat kutipan zakat sebanyak RM141 juta pada tahun 2024, sekali gus melepasi sasaran asal RM128 juta.
“Berdasarkan prestasi positif itu, Kerajaan Negeri menyasarkan sejumlah RM155 juta kutipan zakat untuk tahun 2025.
“Insya-Allah, kita yakin sasaran ini mampu dicapai dengan sokongan semua pihak. Saya menyeru seluruh warga Melaka agar terus menunaikan zakat di negeri ini, demi memastikan manfaat zakat kembali kepada masyarakat setempat yang memerlukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.